Sewaktu kempen memancing undi duniawi di Melaka, Hadi Awang mendakwa “sejahat-jahat orang Islam, seburuk-buruk orang Islam memerintah negara, mereka tidak sezalim orang bukan Islam”. PAS sudah pun menjawab kenyataan Hadi telah dipetik di luar konteks. (Mungkin ada unsur nyanyuk).
Soalannya apakah kezaliman TIDAK boleh diterima apabila dilakukan oleh pihak yang berlainan agama?
Hari ini kita buat cerita hipotesis sahaja. Hipotesis sejarah. Bayangkan satu sejarah yang berbeza. Bayangkan kaum Yahudi Banu Qurayza yang telah menewaskan tentera Islam, kemudian mereka tawan pejuang Islam yang kalah, apakah tindakan Yahudi terhadap tawanan Islam itu?
Katakan Yahudi Banu Qurayza pula yang membunuh lelaki Islam yang ditawan, mereka pula yang menjadikan wanita dan anak-anak orang Islam sebagai hamba, merampas harta benda orang Islam, serta menyeksa tawanan Islam untuk mendapatkan maklumat tentang harta yang disembunyikan. Contoh sajalah - ini cuma hipotesis.
Dalam 'alternative history' seperti ini apakah umat Islam boleh terima kekejaman Yahudi Banu Qurayza sedemikian sebagai wajar hanya kerana pihak yang melakukannya ialah pihak yang menang? Adakah orang Islam sanggup menerima alasan bahawa tindakan itu dibenarkan oleh keadaan perang, atau bahawa tawanan Islam tersebut telah melakukan kesalahan?
Al-Quran menyebut tentang layanan terhadap tawanan perang. Surah Muhammad, 47:4, menyebut pilihan membebaskan tawanan tanpa tebusan atau membebaskan mereka dengan tebusan.
Surah 47:4 فَإِذَا لَقِيتُمُ الَّذِينَ كَفَرُوا فَضَرْبَ الرِّقَابِ حَتَّىٰ إِذَا أَثْخَنتُمُوهُمْ فَشُدُّوا الْوَثَاقَ فَإِمَّا مَنًّا بَعْدُ وَإِمَّا فِدَاءً حَتَّىٰ تَضَعَ الْحَرْبُ أَوْزَارَهَا ۚ ذَٰلِكَ وَلَوْ يَشَاءُ اللَّهُ لَانتَصَرَ مِنْهُمْ وَلَٰكِن لِّيَبْلُوَ بَعْضَكُم بِبَعْضٍ ۗ وَالَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَلَن يُضِلَّ أَعْمَالَهُمْ
"Maka apabila kamu bertemu dengan orang-orang kafir, maka pancunglah batang leher mereka sehingga apabila kamu telah dapat mengalahkan mereka, maka tawanlah mereka serta kuatkanlah ikatan (tawanan) mereka. Setelah itu, sama ada kamu memberi mereka kebebasan ataupun membebaskan mereka dengan mengambil tebusan, sehingga perang itu selesai. Demikianlah (perintah Allah). Dan sekiranya Allah menghendaki, tentulah Dia membinasakan mereka, tetapi (Dia memerintahkan kamu berbuat demikian) kerana hendak menguji sebahagian daripada kamu dengan sebahagian yang lain. Dan orang-orang yang terbunuh pada jalan Allah, maka Allah tidak sekali-kali akan mensia-siakan amal-amal mereka."
Surah 9:6 pula memerintahkan supaya seorang musyrik yang meminta perlindungan diberikan perlindungan dan dihantar ke tempat yang selamat.
Surah al-Tawbah (9:6) وَإِنْ أَحَدٌ مِّنَ الْمُشْرِكِينَ اسْتَجَارَكَ فَأَجِرْهُ حَتَّىٰ يَسْمَعَ كَلَامَ اللَّهِ ثُمَّ أَبْلِغْهُ مَأْمَنَهُ ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لَّا يَعْلَمُونَ
"Dan jika seseorang daripada kaum musyrik meminta perlindungan kepadamu, maka berilah perlindungan kepadanya sehingga dia sempat mendengar firman Allah. Kemudian hantarkanlah dia ke tempat yang aman baginya. Perintah yang demikian itu adalah kerana mereka kaum yang tidak mengetahui".
Ayat Quran bukan hipotesis. Surah 47:4 membincangkan tawanan perang, manakala Surah 9:6 secara khusus menyebut orang musyrik yang meminta perlindungan.
Persoalannya bukan sama ada orang Islam atau bukan Islam yang menang atau kalah. Persoalannya ialah sama ada keadilan dan kemanusiaan mesti terpakai kepada semua pihak. Jika sesuatu tindakan dianggap kejam apabila dilakukan terhadap tawanan Islam, tindakan yang sama tidak sepatutnya dianggap mulia atau dibenarkan apabila dilakukan oleh pihak Islam terhadap tawanan bukan Islam. Keadilan tidak boleh mempunyai dua ukuran. Agama tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menghalalkan kekejaman.