Friday, September 5, 2025

SEDIKIT NASIHAT UNTUK PAS

 
Dari dulu sampai sekarang kekuatan Pas terletak kepada kelemahan parti lawan. Pas sendiri tidak menunjukkan kekuatan sendiri. Sehingga hari ini Pas tidak mempunyai visi atau idea untuk majukan keseluruhan negara Malaysia dengan bilangan penduduknya 34 juta orang.

Pas telah lama mainkan isu agama untuk menarik pengundi di Kelantan dan Terengganu - dua buah negeri yang mempunyai ramai penyokong mereka. Ditambah sekarang dengan negeri Kedah dan Perlis. Tetapi kemenangan Pas di Terengganu, Kedah dan Perlis lebih disebabkan oleh undi protes terhadap BN/UMNO dan tidak mencerminkan  kekuatan Pas sendiri.

Pada hujung 80an perpecahan UMNO (Dr Mahathir lawan Tengku Razaleigh) menguntungkan Pas. Pas menang Kelantan pada tahun 1990.

Pada hujung 1990an pula perpecahan UMNO (Dr Mahathir lawan puak Reformasi) menguntungkan Pas. Pas menang Kelantan dan Terengganu (1999)

Pada 2004 bila Dr Mahathir diganti Abdullah Badawi Pas kalah teruk - Pas hilang Terengganu dan Ahli Parlimen Pas tinggal 6 orang sahaja.

Pada 2008 pentadbiran Badawi gagal, dibenci dan UMNO hilang majoriti 2/3 di Parlimen. Pas menang 23 Parlimen tetapi gagal rampas balik Terengganu. 

2013 Najib ganti Badawi dan Pas kehilangan dua Parlimen, tinggal 21 sahaja.

2018 UMNO/BN tumbang. Krisis rasuah 1MDB dan rasuah pemimpin Umno  mengakibatkan UMNO/BN hilang kuasa. Tetapi Pas pun kalah juga - menang 18 Parlimen sahaja. Pas kalah tiga Parlimen berbanding 2013. 

2022  PAS menang 43 Parlimen (sebab PH gagal menarik sokongan rakyat, UMNO dan PKR sungguh tidak popular dengan pengundi Melayu dan Pas bergabung dengan PN yang makin popular) 

Sekali lagi pada 2022  Pas dapat untung disebabkan parti lawan ia itu UMNO dan PKR sangat tidak popular di kalangan orang Melayu. Hakikatnya Pas belum nenonjolkan keupayaan sendiri untuk memimpin 34 juta rakyat - melainkan mainkan lagu RUU 355. (Hudud sudah tidak kedengaran lagi).

Secara ringkas:

1999 Pas menang 27 Parlimen (krisis Dr Mahathir lawan Reformasi)
2004 PAS menang 6 Parlimen (Abdullah Badawi ganti Dr Mahathir)
2008 PAS menang 23 Parlimen (Badawi dibenci dan hilang majoriti 2/3)
2013 PAS menang 21 Parlimen (sebelum krisis 1MDB, Pas hilang dua Parlimen)
2018 PAS menang 18 Parlimen  (krisis 1MDB, BN tumbang)
2022 PAS menang 43 Parlimen (Bergabung dengan PN, PH gagal) 

Pas perlu faham bahawa daripada 34 juta penduduk Malaysia, bilangan orang Islam kurang daripada 55%. Dan jika dikira orang Melayu Islam sahaja bilangan itu menurun lagi sekitar 51% - 53%. Dan hampir kesemua mereka menduduki tanah Semenanjung. Bilangan penduduk bumiputra dalam negara kita sekitar 65 - 70% tetapi termasuk bumiputra Sabah dan Sarawak yang majoritinya bukan Islam.  

Di Sarawak bilangan rakyat bukan Islam sekitar 75% daripada jumlah penduduk negeri itu. Sarawak hanya menunggu masa sebelum pemimpin daripada majoriti bukan Islam menjadi Ketua Menteri sekali lagi - seperti Stephen Kalong Ningkan anak Sarawak keturunan Dayak dan Cina yang menjadi Ketua Menteri 1963 - 1966. 

Di Sabah pula Projek IC terhad dalam kejayaannya untuk Melayukan atau Malaysiakan rakyat Filipina Moro sebab mereka hidup terapong atas air dan tidak mempunyai kampong halaman sendiri di Sabah. Identiti kampong dan pertalian kampong adalah sangat penting bagi rakyat bumiputra. Tanpa kampong asal mereka tidak mempunyai identiti di Sabah. Kampong asal dan pertalian kampong mereka masik kekal di Filipina (Mindanao / Sulu). Dan kemungkinannya Pilihanraya Negeri Sabah yang sedang hampir tidak akan membantu penduduk Projek IC pada jangka panjang. 

Jadi keupyaan Pas untuk menang majoriti dalam Parlimen adalah Mission Impossible. Kemampuan Pas untuk menambahkan kerusi melebih 43 kerusi Parlimen juga sangat bergantung kepada arus, ombak dan badai yang menimpa parti lain. Jika parti lain selamat maka Pas tidak akan selamat dan sebaliknya. Pas tidak mempunyai kekuatan sendiri.

Jadi inilah kepelbagaian dalam sajian 'Menu' dalam penduduk negara kita Malaysia yang tersangat indah ini. Apakah Pas mampu polish dan mencantikkan lagi keindahan ini atau Pas akan terus mainkan lagu RUU 355 atau bangkitkan hudud sahaja?   

Ataupun - apakah sudah tiba masanya Pas membuat 'wheel balancing' dan 'engine tuning' yang baru untuk menjadi wakil dan pemimpin kepada keseluruhan 34 juta penduduk negara yang sangat berlainan sekali? Is Pas capable of doing this? 

Ok now let us look to the future.

Baru ini beberapa pemimpin dan ahli Pas membuat kenyataan yang memang mencerminkan '
Pas yang ori' (Pas yang lama)

1. Ketua Penerangan PAS  kata ‘
kambing dan biri-biri seeloknya tidak perlu kepada monyet untuk menjadi orang tengah dalam kes perebutan pisang'. Ini merujuk kepada usaha damai antara Thailand dan Kemboja.
2. Ketua penerangan pemuda PAS cawangan entah mana :  "
menyamakan wanita yang memegang jawatan kepimpinan dengan lembu betina dalam kawanan ternakan".
3.
KUALA TERENGGANU – Lelaki Islam di Terengganu yang culas menunaikan solat Jumaat boleh dikenakan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda hingga RM3,000 atau kedua-duanya sekali.
4. Seorang Ahli Parlimen Pas (wanita) pula mahu
tulisan Jawi pada kad pengenalan

Tak payahlah tulisan Jawi dalam KP. Di kalangan 51-53% penduduk negara berbangsa Melayu Islam pun yang faham baca Jawi adalah sikit sekali. Bagaimana pula pegawai Polis, pegawai Kastam, pegawai Imigresen, penjawat awam yang bukan Melayu (Cina, India, Dayak, Kadazan-Dusun) boleh baca nama yang tertulis dalam Jawi? Ianya hanya akan membangkitkan kesulitan sahaja.

  مَآ أَنزَلْنَا عَلَيْكَ ٱلْقُرْءَانَ لِتَشْقَىٰٓ  -  Kami tidak menurunkan Al-Quran kepadamu supaya engkau jadi susah (Surah 20:2)

Jadi janganlah selalu nak menyusahkan manusia sahaja.

Tak payahlah penjarakan budak yang tak sembahyang Jumaat. Walaupun kita dijajah Portugis, Belanda dan British sejak 1511 (446 tahun) tak pernah tok-tok kita tinggalkan sembahyang Jumaat.  Di negara kita, serupa di seluruh dunia Islam, orang yang tak sembahyang waktu pun bila datang hari Jumaat sahaja, mereka mesti akan pergi ke mesjid untuk sembahyang Jumaat. Sembahyang Jumaat sudah lama menjadi adat dan budaya umat Islam. Penjara dua tahun dan denda RM3,000 hanya gimik murahan Pas Terengganu (cheap political gimmick) yang hanya menimbulkan resah dan menakutkan rakyat. 
Hello Dr Sam, this is NOT prime minister material. 

Tak payahlah samakan negara jiran kita dengan kambing dan biri-biri. Kita mesti berbuat baik kepada jiran kita. 

"dan hendaklah kamu berbuat baik kepada .. jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh"  ( وَٱلْجَارِ ذِى ٱلْقُرْبَىٰ وَٱلْجَارِ ٱلْجُنُبِ ) Surah al Nisaa ayat 36. 

Kenapa sdra Ketua Penerangan Pas itu kurang yakin dengan ayat al Quran ini? Kenapa kutuk jiran kita sebagai kambing dan biri-biri?

Tolonglah jangan mencerca kaum wanita sebagai lembu betina. Jangan lupa bahawa ibu-ibu kita yang mendidik dan memimpin kita dari saat kita lahir sampai dewasa. Pemikiran otak, fe'el dan amalan kita semua sangat dipengaruhi kaum wanita juga. Kalaulah wanita itu lembu, lelaki boleh kaldai. 

Maksud saya ialah, Pas tidak perlu kepada pemikiran dan bahasa yang sempit dan tertinggal sampan seperti ini. Pas perlu lepaskan saikoloji dan pemikiran abad awal 1900 di mana masyarakat Islam sedunia mengharapkan kemerdekaan, melawan penjajah, mencari "
permata yang hilang sejak 1000 tahun" dsbnya. Sekarang kita berada pada abad ke-21. 21st century. Kita sudah lama merdeka. Nasib kita dalam tangan kita. Engine sudah tuning, wheel sudah balancing. Kereta kita pacuan empat roda yang berkuasa tinggi (four wheel drive). Kita yang bakal tentukan masa depan kita. Kita maksudnya kesemua 34 juta rakyat negara. Islam, Buddha, Tien Tao. Kristian, Hindu, dewa-dewa alam, Melayu, Cina, India, Dayak, Dusun dan semua sekali. 

Baru ini Pemuda Pas bawah pimpinan Ketua Pemuda Afnan Hamimi Taib Azamudden telah menganjurkan dan menguruskan himpunan raksaksa 26hb Julai di Kuala Lumpur yang menarik lebih 200,000 peserta untuk memprotes pelbagai kekurangan dan kecurangan kerajaan dan pimpinan. Perhimpunan raksaksa itu telah disusun dengan baik, secara professional dan aman. Walaupun lebih 200,000 orang berkumpul tidak ada satu pun kelakuan atau perbuatan yang tidak senonoh atau yang menggangu ketenteraman awam. Syabas dan tahniah sekali lagi kepada Pemuda Pas. Maksudnya Pemuda Pas sudah sampai kepada suatu kematangan dalam pemikiran dan pendekatan mereka. The objective is untuk membangkitkan kesedaran rakyat. Bukan untuk membuat kecoh dan huru hara. So Pas has the capacity - if they choose to. Terpulang kepada tuan-tuan.


Begitu juga baru ini saya sempat makan lunch bersama YB Datuk Takiyuddin Hassan, Ahli Parlimen Kota Bharu di pejabat Ketua Pembangkang YB Dato Hamzah Zainuddin (gambar di atas). YB Thakiyudin adalah seorang lagi pemimpin Pas yang arif akan perkembangan semasa bukan saja dalam negara kita tetapi dalam keadaan dunia dan pada zaman sekarang ini. Dunia sedang berubah dengan begitu pesat sekali dan kita perlu keep up with the changes. Pemikiran dalam kelompok, 'tunnel vision' atau pandangan yang sempit tidak boleh membantu kita dalam apa pun. Kita akan tertinggal sampan sekali lagi. Sdri Suzanna akan terpaksa tulis sebuah lagi buku 'Permata Yang Hilang Selama 1000 Tahun, Edisi ke 2

Pas sedang berada di simpang tiga. Pas perlu menilai dan menimbang keadaan dengan cermat. Belok ke sini atau belok ke sana? Seperti Google Maps dan Waze yang membantu kita merancang perjalanan ke hadapan, PAS juga mesti merancang hala tuju ke depan bersama dan untuk 34 juta rakyat Malaysia.

Apa macam Pas? Can you do it? Can you handle it?